Mesej Ketua Perangkawan Malaysia
277 views
"Memperkukuh Kepercayaan, Memperhebat Keupayaan"
|
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Sebagai peneraju Sistem Statistik Negara, DOSM terus komited menyediakan statistik rasmi yang berkualiti, berintegriti dan diyakini bagi menyokong pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh data, statistik bukan lagi sekadar angka, malah menjadi asas penting kepada perancangan dasar, penyelidikan, pelaburan dan pembuatan keputusan yang lebih tepat di semua peringkat. Seiring dengan perubahan landskap global yang dipengaruhi oleh kemajuan teknologi digital, kecerdasan buatan, data raya dan sumber data baharu, DOSM sentiasa berusaha memperkukuh keupayaan institusi dalam menghasilkan statistik yang lebih pantas, lebih granular dan lebih responsif terhadap keperluan negara. Pada masa yang sama, kepercayaan terhadap statistik rasmi akan terus dipelihara melalui pematuhan kepada prinsip profesionalisme, integriti, kerahsiaan data serta standard statistik antarabangsa. |
|
Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang telah diluluskan di Parlimen, membuka lembaran baharu kepada peranan DOSM dalam ekosistem statistik negara. Jika sebelum ini peranan kita lebih tertumpu kepada pengumpulan, penyusunan dan penyebaran statistik rasmi, kini DOSM diperkasakan sebagai peneraju ekosistem data dan statistik negara yang menghubungkan pelbagai sumber data bagi menghasilkan statistik yang lebih pantas, bersepadu dan berimpak tinggi. Dengan asas perundangan yang lebih kukuh, DOSM bukan sahaja akan memperluaskan kerjasama perkongsian data merentas kementerian, agensi dan sektor swasta, malah memperkukuh penyelarasan statistik rasmi negara supaya lebih responsif terhadap keperluan kerajaan, industri dan rakyat.
DOSM juga akan terus memperkukuh Sistem Statistik Negara melalui kerjasama strategik bersama pihak kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan rakan pembangunan. Pendekatan Whole-of-Government akan terus diperkasakan bagi mengoptimumkan penggunaan data pentadbiran, memperluas perkongsian data secara selamat dan meningkatkan keberkesanan penghasilan statistik rasmi demi manfaat negara.
Selaras dengan Pelan Strategik Jabatan 2026–2030, DOSM akan terus mempergiat usaha transformasi organisasi melalui pemerkasaan teknologi, inovasi dan pembangunan modal insan agar kekal sebagai organisasi statistik yang moden, tangkas dan berdaya tahan. Keutamaan turut diberikan kepada penghasilan statistik bernilai tambah yang mampu memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai perkembangan sosioekonomi negara serta menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti.
Sebagai institusi statistik rasmi negara, DOSM sentiasa mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam membudayakan penggunaan data dan statistik sebagai asas kepada pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan sejahtera. Kami juga komited untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memperluaskan akses kepada statistik rasmi yang mudah diperoleh, mudah difahami dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
Saya berharap laman web rasmi ini akan terus menjadi platform utama dalam menyampaikan maklumat, statistik rasmi, penerbitan serta inisiatif terkini DOSM kepada rakyat, penyelidik, komuniti perniagaan dan semua pemegang taruh.
5 Ogos 2026
