↑ Top
DOSM Community
Respondent
Public
Sunday, 26 May 2019|

Penjelasan mengenai terjemahan surat pemakluman survei

KENYATAAN MEDIA


PENJELASAN MENGENAI TERJEMAHAN SURAT PEMAKLUMAN SURVEI


Susulan isu video yang ditularkan melalui media sosial mengenai Surat Pemakluman Pelaksanaan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2019 yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Selangor, DOSM menghargai perhatian dan kebimbangan yang telah disuarakan.


DOSM selaku penjana statistik negara sentiasa memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Antara fungsi DOSM adalah mengumpul maklumat primer melalui survei atau bancian secara terus dengan responden. Bagi pelaksanaan survei dan banci utama ianya meliputi responden seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa, peringkat umur dan latar belakang pendidikan.


Oleh yang demikian, mengambil kira struktur demografi penduduk yang berbilang kaum dan pelbagai peringkat umur serta latar belakang pendidikan yang berbeza di Malaysia, terjemahan pemakluman survei atau banci dalam bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Iban dan Kadazan adalah merupakan amalan sedia ada Jabatan yang bertujuan memberi kefahaman kepada responden yang berkenaan sahaja bagi mendapatkan kerjasama dan maklum balas soal selidik yang lebih tepat.


Amalan tersebut tidak sesekali bertujuan untuk menjatuhkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau pun mempunyai apa-apa unsur perkauman. Pemakluman bahasa selain Bahasa Melayu bertujuan membantu responden yang berkaitan untuk lebih memahami dan memberi kerjasama lebih baik terhadap soal selidik HIES/BA tersebut.

 

Dikeluarkan oleh:
 

JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
7 MAC 2019