↑ Top
DOSM Community
Respondent
Public
Sunday, 19 November 2017|

Perutusan Ketua Perangkawan Sempena Hari Statistik Negara (MyStats Day) 2017

 


PERUTUSAN
YBRS. DR. MOHD UZIR BIN MAHIDIN
KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
HARI STATISTIK NEGARA (MYSTATS DAY) 2017
20 OKTOBER 2017

 

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya jua kita dapat menyambut Hari Statistik Negara buat julung kalinya pada tahun ini.

United Nations Statistical Commission ketika bersidang dalam sesi yang ke-29 pada tahun 1997 menyatakan sokongan terhadap penganjuran sambutan hari, bulan atau minggu bagi meraikan statistik sama ada di peringkat negara atau peringkat serantau. Sebanyak 102 buah negara di dunia pernah menganjurkan sambutan tersebut  secara berkala  atau  sebagai one-time event1 sebagai salah satu inisiatif mengangkat peranan statistik.

Pada tahun 2010, United Nations General Assembly (UNGA) kali ke-64 telah mengisytiharkan Hari Statistik Sedunia disambut pada 20 Oktober 2010. Tujuannya adalah untuk mengiktiraf perkembangan statistik rasmi dunia dan peranan United Nations Statistical Commission sejak penubuhannya pada tahun 19472. Hari tersebut telah disambut oleh 103 buah negara termasuk Malaysia. Seterusnya, UNGA Ke-69 pula telah menetapkan Hari Statistik Sedunia Kedua disambut pada 20 Oktober 2015 dan diraikan setiap lima tahun pada 20 Oktober3.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang peneraju kepada statistik rasmi negara merasa amat teruja apabila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 bersetuju supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Ini membuktikan bahawa Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan ahli statistik di Malaysia dan DOSM. Keberhasilan daripada perkhidmatan perangkaan yang dikeluarkan oleh DOSM merupakan statistical evidence yang digunakan oleh Kerajaan sebagai input dalam pembentukan, pelaksanaan, penilaian dan semakan dasar awam. Peranan ini akan diteruskan bagi memastikan penggubal dasar merangka polisi dan menganalisis keberkesanannya berdasarkan statistik yang komprehensif dan terperinci.

Statistik juga memainkan peranan besar kepada pihak swasta dalam membuat keputusan perniagaan dan membuka peluang untuk syarikat atau perniagaan tersebut sentiasa kompetitif dalam pasaran yang semakin mencabar. Pelaburan antarabangsa dan kedudukan negara di mata dunia ditentukan dengan menggunakan indikator utama yang dijana melalui statistik.

Statistik negara terus melakar sejarah apabila bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran 62nd World Statistics Congress of the International Statistical Institute (ISI WSC) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tahun 2019. DOSM bersama Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia dengan kerjasama MyCEB komited untuk menganjurkan perhimpunan komuniti statistik yang akan dihadiri oleh lebih 3,000 pengamal statistik dari seluruh dunia.

DOSM turut menjadi pusat rujukan dalam penyusunan statistik rasmi dan mendapat pengiktirafan dari agensi dalam dan luar negara. Kunjungan agensi penyelidikan swasta dan kerajaan serta pelajar IPT dapat memberi pendedahan tentang penyusunan statistik rasmi negara dalam bidang ekonomi, kependudukan dan sosial. Manakala, lawatan sambil belajar dari delegasi National Statistical Office (NSO) negara lain memberi ruang kepada DOSM untuk berkongsi pengalaman tadbir urus sistem statistik dan kepakaran dalam pelbagai bidang khusus.

Justeru, Hari Statistik Negara bakal diraikan oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pembekal dan pengguna statistik seperti agensi Kerajaan dan swasta; institusi pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tertiari; komuniti perniagaan, individu serta para penyelidik. Ini kerana statistik adalah “keperluan” setiap individu dan ianya penting sebagai pandu arah menentukan kesejahteraan rakyat, bertepatan dengan tema sambutan Hari Statistik Negara pada tahun ini iaitu “Data Berkualiti. Kehidupan Sejahtera” atau “Better Data. Better Lives”.

Selaras dengan objektif sambutan MyStats Day bagi tahun 2017, DOSM bersama agensi pengamal statistik lain telah menyusun pelbagai program dan aktiviti di peringkat kebangsaan, negeri sehingga kepada komuniti di daerah. Program-program ini yang menjurus kepada merakyatkan statistik memberi fokus mengenai kesedaran dan kefahaman tentang statistik terhadap kesejahteraan masyarakat. Antara program yang akan diadakan adalah:

a) Sesi Dialog TN50: Memperkasa Statistik ke Arah TN50, yang akan berlangsung semasa sambutan MyStats Day pada 20 Oktober 2017;
b)
Stats ASEAN Run 2017 pada 21 Oktober 2017;
c) Karnival Statistik pada 23 - 26 Oktober 2017;
d)
Malaysia Statistics Conference (MyStats) pada 28 - 29 November 2017; dan
e) Program Merakyatkan Statistik Bersama Komuniti di seluruh negara.

Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai pelbagai program yang telah diatur sempena sambutan Hari Statistik Negara 2017. Akhir kata dari saya, “Selamat menyambut Hari Statistik Negara untuk seluruh komuniti statistik di Malaysia. Data Berkualiti, Kehidupan Sejahtera” Hashtag: #MyStatsDay.

 


1 https://unstats.un.org/unsd/dnss/statistics_day/Statistics_Day.htm
2 https://unstats.un.org/unsd/wsd/docs/WSD_GA_resolution_En.pdf
3 http://www.un.org/en/ga/search/view_doc.asp?symbol=A/RES/69/282