↑ Top
DOSM Community
Respondent
Public
Friday, 03 April 2020|

New Year Message 2020: Chief Statistician Of Malaysia

Video Perutusan Amanat Tahun Baru 2020

Video Imbasan Program & Aktiviti Tahun 2019

 

AMANAT TAHUN BARU 2020:  KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Makmur.

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

ALHAMDULILLAHHIR RABBIL A’ALAMIN

WASSALATUWASSALAM MUALA ASHRAFIL AMBIA IWALMURSALIN WA’ALA ALIHI WASAHBIHI AJMAIN

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

ALHAMDULILLAH dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita telah berjaya sampai ke tahun 2020 setelah mengharung pelbagai liku dan cabaran pada tahun 2019. Tahun 2020 merupakan tahun yang sangat signifikan dengan semua rakyat Malaysia sejak YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia mengisytiharkan suatu gagasan besar yang kita kenali sebagai “Wawasan 2020” pada 28 Februari 1991. Wawasan 2020 sememangnya telah berjaya melakarkan impian dan menanamkan cita-cita kepada kita semua.

Dengan rasa rendah diri, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh keluarga besar DOSM atas segala komitmen, kebersamaan dan semangat yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepanjang tahun 2019. Tahun 2019 juga merupakan ulang tahun ke-70 DOSM. Tujuh dekad penubuhan DOSM telah membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi oleh seluruh warga DOSM dalam merealisasikan visi dan misi DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang terbilang di dunia menjelang 2020. Justeru suka saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh anggota DOSM yang telah berjaya membuktikan DOSM mampu menjadi Penjana Statistik Negara selama 70 tahun dan seterusnya, menjadikan DOSM sebagai satu jenama global setanding negara-negara maju yang lain.

Di samping DOSM mengecapi kejayaan di sepanjang tahun 2019, kita juga menerima berita yang mendukacitakan apabila beberapa warga DOSM yang kita kasihi telah pergi buat selama-lamanya, mendahului kita semua. Pada kesempatan ini, marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada semua arwah, semoga mereka digolongkan dalam golongan yang dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah.

 

PEMBEKAL STATISTIK UTAMA NEGARA

Selama 70 tahun DOSM tidak pernah gagal dalam membekalkan statistik ekonomi dan sosial kepada kerajaan untuk menggubal dasar-dasar ekonomi negara. Dalam konteks penjanaan statistik, kerjasama erat dari semua peringkat amat diperlukan sama ada di ibu pejabat mahupun di DOSM Negeri. Warga DOSM Negeri berperanan mengumpul dan membekalkan data yang dikutip dari lapangan manakala warga DOSM di ibu pejabat bertanggungjawab dalam menganalisis data dan menghasilkan laporan bagi tujuan sebaran kepada umum.

 

KETERLIHATAN JENAMA DOSM

Sepanjang 2019, DOSM telah menerbitkan 371 penerbitan, iaitu 194 penerbitan secara bulanan, 64 penerbitan secara suku tahunan dan 113 penerbitan secara tahunan/ berkala yang mana 23 daripadanya adalah penerbitan baharu. Penerbitan statistik yang terkini merupakan manifestasi dan iltizam DOSM yang sentiasa proaktif dan peka terhadap keperluan statistik sehingga ke peringkat daerah. Justeru, ia dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan literasi statistik di kalangan rakyat, seiring dengan hasrat Jabatan dalam merakyatkan statistik.

Di samping itu, DOSM juga telah mengeluarkan 237 Stats Alert dalam bentuk infografik statistik yang dikongsikan melalui emel kepada lebih kurang 6,000 penerima tetap yang terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Kementerian/ Jabatan/ Agensi/ Persatuan/ di peringkat Persekutuan dan Negeri, Pensyarah-Pensyarah Universiti, Pengetua-Pengetua Sekolah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-Badan Berkanun. Selain daripada itu, DOSM telah melancarkan aplikasi MYLocal Stats 2.0 dengan tambahan sosial statistik mengikut daerah dengan 17 indikator baharu. DOSM juga telah melancarkan MyCapStock Fasa 2 bagi tujuan Penyusunan Gross Fixed Capital Formation (GFCF) dan Indeks Harga Aset sebagai input Perpetual Inventory Method (PIM) untuk menjana stok modal. Di samping itu, Trade by Enterprise Characteristics (TEC) dibangunkan dalam STATSBDA bagi tujuan menintegrasikan data Perdagangan dalam Malaysia Statistical Business Register (MSBR). DOSM juga telah berjaya membangunkan Malaysia Business Cycle Clock (MBCC) buat julung kalinya bagi memaparkan kitaran ekonomi secara visual.

 

PERANAN DOSM DI DALAM DAN LUAR NEGARA

Sepanjang 70 tahun penubuhan DOSM, ianya semakin dikenali di dalam dan luar negara khusunya dalam keyakinan masyarakat tempatan dan luar negara dalam penghasilan statistik yang berdaya saing serta kepakaran anggota DOSM dalam mengaplikasikan penggunaan manual-manual statistik antarabangsa.

 

Dalam Negara

Penganjuran ISI World Statistics Congress kali ke-62 (ISI WSC 2019) yang diadakan pada 18 hingga 23 Ogos 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan kongres statistik utama dunia yang julung kali diadakan di Malaysia. Sebagai agensi utama pengeluar statistik Negara, DOSM telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan untuk menganjurkan Kongres ini dengan kerjasama daripada pihak Bank Negara Malaysia dan Institut Statistik Malaysia. Penganjuran ISI WSC 2019 telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat Antarabangsa di mana buat pertama kalinya sejak penganjuran ISI WSC ini ianya telah dirasmikan oleh seorang Perdana Menteri dan juga memperkenalkan lagu tema yang berjudul “Statistics Bloom In Harmony”. Jawatankuasa penganjur ISI WSC 2019 telah berjaya menarik lebih daripada 2,800 orang pencinta statistik dari 130 buah negara seluruh dunia iaitu melebihi jumlah sasaran peserta 2,500 orang. Penganjuran ISI WSC 2019 juga berjaya mengumpulkan sebanyak 1,428 kertas pembentangan daripada pelbagai aspek statistik dalam ekonomi, sosial, teknologi, politik, kesihatan, sains dan lain-lain. Kejayaan penganjuran kongres ini telah membuktikan bahawa DOSM telah berjaya merealisasikan visi DOSM untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang di dunia menjelang 2020.

United Nations General Assembly (UNGA) telah mengisytiharkan Hari Statistik Sedunia disambut pada 20 Oktober 2010 dan diraikan setiap lima tahun. Buat julung kalinya pada tahun 2017, Hari Statistik Negara telah diisytiharkan dan disambut secara tahunan pada setiap 20 Oktober bermula 20 Oktober 2017. Pada tahun 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengadakan sambutan MyStats Day buat kali ketiga di Muar, Johor dengan pelbagai aktiviti yang mengisarkan tema “Better Data Better Lives”. Kehadiran YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk merasmikan MyStats Day 2019 beserta dengan YB Menteri Belia dan Sukan, Menteri Besar Johor, Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan beberapa pegawai kanan Kerajaan Negeri Johor dianggap sebagai pemangkin kepada pembangunan sistem statistik Negara. Sambutan MyStats Day pada kali ini dianggap sangat istimewa kerana ianya disambut bersempena ulang tahun ke-70 DOSM yang dianggap sebagai pelengkap kepada sejarah penubuhan 70 tahun DOSM sebagai sebuah entiti penjana statistik negara.

DOSM akan melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia kali ke-6 pada 7 Julai 2020. Justeru, satu Jawatankuasa Pemandu telah dibentuk yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ismail Hj Bakar dengan keahlian daripada Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri. Jawatankuasa Pemandu ini telah bermesyuarat buat pertama kalinya pada 2 April 2019 di DOSM yang bertujuan untuk memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Di samping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Banci peringkat Negeri juga telah diadakan di setiap negeri bermula pada 24 Julai 2019 sehingga 16 Disember 2019. DOSM juga telah melaksanakan Banci Percubaan Penduduk Perumahan Malaysia 2020 pada 24 Julai sehingga 7 Ogos 2019 dan 10 hingga 24 Disember 2019 sebagai persediaan untuk Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dengan memanfaatkan teknologi dalam pengumpulan data. Objektif pelaksanaan Banci Percubaan 2019 adalah untuk menguji pemahaman orang awam berkenaan struktur soal selidik dan mod pembancian yang dijalankan. Antara mod pembancian yang digunakan adalah seperti Online Self-Listing (OSL), e-Census, Computer Assited Personal Interview (CAPI) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) dan ia dijalankan di tempat kediaman terpilih di seluruh negara. Pelbagai aktiviti dijalankan bagi mewar-warkan pelaksanaan Banci Percubaan 2019 ini seperti Seminar kependudukan Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan lain-lain aktiviti promosi dan publisiti banci. Di samping itu, DOSM juga telah melaksanakan Malaysia Integrated Population Census System (MyIPCS) sebagai kerangka kerja bersepadu yang meliputi semua aktiviti yang akan dilaksanakan dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Justeru, diharapkan dengan pelaksanaan Banci Percubaan Penduduk dan Perumahan ini, maka pelaksanaan banci sebenar pada 7 Julai 2020 nanti akan dapat berjalan dengan lancar menerusi penglibatan seluruh masyarakat dengan memberikan kerjasama kepada anggota DOSM di lapangan.

Pada tahun 2019 juga, DOSM telah melaksanakan Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 (WRC2019). Objektif utama pelaksanaan WRC2019 adalah untuk mengemaskini stok rangka dan profil subsektor perdagangan borong dan runcit sehingga peringkat mikro disamping mengukur sumbangan sektor borong dan runcit kepada ekonomi negara dan menyediakan instrumen bagi penggubalan dasar pembangunan, mengukur pencapaian pelan pembangunan nasional. YAB Tuan Amirudin Bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor telah berkesempatan untuk merasmikan Kick Off WRC2019 ini di Seminar Ekonomi Negeri Selangor bagi membantu DOSM dalam menyuntik semangat industri negeri Selangor bagi memberikan kerjasama dalam pelaksanaan Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 ini. WRC2019 telah melibatkan sebanyak 497,733 syarikat perniagaan berdaftar dan berstatus aktif yang dibanci bermula pada April sehingga September 2019. Statistik WRC2019 ini akan digunakan oleh pihak berkepentingan di dalam dan luar negara antaranya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan sebagainya, malah digunakan oleh DOSM sendiri untuk mengeluarkan perangkaan suku tahunan.

DOSM komited dalam menyokong dan melaksanakan Sustainable Development Goals (SGDs) sehingga 2030 seperti diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Peranan DOSM dalam SDGs di Malaysia adalah sebagai ‘focal point’ bagi penyelarasan pembangunan SDGs. Manakala di peringkat antarabangsa ia membabitkan pembangunan petunjuk SDGs dipeingkat ASEAN. Bagi memastikan fungsi DOSM sentiasa relevan dengan matlamat pembangunan SDG maka DOSM telah mengadakan Seminar Statistik Kali ke 3 (2019): Mendepani Cabaran dan Agenda Sustainable Development Goals (SDG) Nasional pada 26 – 27 Jun 2019 di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai, Perak. Objektif seminar ini adalah untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang meluas berkaitan agenda SDG di peringkat Antarabangsa di samping menyediakan platform kepada agensi untuk menghasilkan kajian dan analisis yang merentasi pelbagai matlamat dan sasaran dalam agenda ini. Seminar ini juga telah memberi ruang dan peluang kepada semua agensi dan stakeholder untuk mengetengahkan idea dan berkongsi ilmu yang boleh dijadikan sebagai input dalam Pembangunan indikator SDG.

DOSM amat yakin bahawa statistik adalah nadi kepada perancangan dan pemantauan polisi yang mana indikator yang dihasilkan dapat digunakan untuk mengukur kemampuan pembangunan sosioekonomi negara. Sehubungan dengan itu, bertepatan dengan kepentingan dan keperluan statistik yang komprehensif maka DOSM telah melebarkan aktiviti literasi statistik melalui Program Forum Perdana Hal Ehwal Islam di RTM TV1 bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Forum ini yang membawa tajuk ‘Usia Berbaki’ telah diadakan pada 27 Jun 2019 di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai, Perak yang dikendalikan oleh panel jemputan Dato’ Badli Shah Alauddin (pendakwah) dan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin (Ketua Perangkawan Malaysia). Melalui program-program yang mendekati masyarakat seperti ini akan dapat meningkatkan pemahaman masyarakat berkenaan kepentingan statistik dalam kehidupan seharian.

 

Luar Negara

DOSM juga telah berjaya menempa nama di persada antarabangsa melalui perlantikan sebagai Chairman, Co-Chair, expert group dan tenaga pengajar.

Alhamdulillah sehingga kini, DOSM masih menyandang jawatan chairman dalam OIC-StatCom, UNESCAP BUREAU of The Committee on Statistics, Task Force on Asia Pacific Economic Statistics Week dan sebagai co-chair di Working Group (WG) on the Development of New Strategic Vision of OIC StatCom.

Sepanjang tahun 2019, terdapat ramai pegawai DOSM yang telah dilantik sebagai ahli dalam beberapa pertubuhan dunia seperti Friends of the Chair Group on the Fundamental Principles of Official Statistics (FOC-FPOS), Regional Steering Group (RSG) for Civil Registration and Vital Statistics (CRVS) in Asia and the Pacific, Inter-Agency and Expert Group on Sustainable Development Goal Indicators (IAEG-SDGs) dan International Association for Official Statistics (IAOS) Executive Committee (EXCO). Beberapa pegawai DOSM juga telah dilantik sebagai Expert Group dan Tenaga Pengajar di luar negara seperti Sub-Group on Gender Statistics Training, Expert Group on Refugees and Internationally Displaced Persons Statistics (EGRIS), Experts on Business Registers dan beberapa lagi bidang kepakaran yang telah disertai.

Sepanjang 2019, DOSM telah menghadiri 73 program bertugas rasmi ke luar negara yang melibatkan 103 orang pegawai yang bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dan pengetahuan teknikal pegawai DOSM. Di samping itu, DOSM juga telah menerima kunjungan hormat daripada pihak luar negara sepanjang tahun 2019 seperti World Bank Research Department, Asian Development Outlook 2019 dan Guangxi Zhuang Autonomous Region Bureau of Statistics. DOSM juga telah menerima lawatan sambil belajar daripada Banco Central De Timor-Leste (BCTL) dan Guangxi Zhuang Autonomous Region Bureau of Statistics.

Selain itu, beberapa program dan aktiviti luar negara lain juga telah dilaksanakan pada tahun ini antaranya adalah Third Meeting of the Expert Group on Refugees and Internatlly Displaced Persons Statistics (EGRIS) di Ankara, Turki, Statistics Course On ‘Methodologies And Best International Practices For Conducting Household Expenditure Survey’ di Brunei, High Level Seminar on the Future of Economic Statistics & 10 Minutes Remarks at the 10th Anniversary Celebration of the UN – China Trust Fund Project on Statistical Capacity Building in Shanghai, People’s Republic of China (PRC) dan lain-lain.

 

JALINAN KOMUNIKASI DAN KERJASAMA STATISTIK

DOSM sentiasa menitikberatkan jalinan komunikasi di kalangan pengguna data dan masyarakat melalui pelbagai medium terutama media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube.

Kerjasama dua hala antara DOSM dengan agensi dalam dan luar Negara amat dialu-alukan melalui memorandum persefahaman. Kerjasama seperti ini telah dimulakan sejak 2013 dan sehingga 2019 sebanyak 32 Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai di mana tiga daripadanya adalah pada 2019 iaitu MoU bersama dengan Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Di samping itu, DOSM juga cuba menanamkan semangat cintakan statistik di kalangan pelajar-pelajar melalui program Meet and Greet di mana lawatan sambil belajar daripada kolej dan universiti ke DOSM. Sepanjang tahun 2019, DOSM telah menerima 15 lawatan sambil belajar daripada institut pengajian tinggi dengan bilangan pelajar seramai 800 orang. Program ini dapat mededahkan pelajar-pelajar berkenaan dengan fungsi, visi dan misi DOSM dan sekaligus memberi penerangan berkenaan produk-produk DOSM, kaedah kutipan data serta pendedahan kepentingan bidang pendidikan yang diceburi oleh pelajar dalam pembangunan sosioekonomi Negara.
DOSM juga mengamalkan prinsip keterbukaan kepada umum di mana sentiasa mengalu-alukan kunjungan daripada agensi kerajaan lain, industri dan NGO yang berhasrat untuk mendapatkan penerangan lanjut berkenaan statistik yang dikeluarkan oleh DOSM. Sepanjang tahun 2019, sebanyak 77 kunjungan yang telah diterima dari pelbagai pihak yang ingin mendapatkan khidmat nasihat teknikal bidang statistik.

Di samping itu, DOSM juga telah mengorak langkah dengan memperkenalkan program Statistics Talk di kalangan ahli Parlimen. Pada 15 Oktober 2019, buat kali pertamanya DOSM membuat perkongsian ilmu statistik di kalangan YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan Majlis Ahli-ahli Backbencher bertempat di Parlimen Malaysia.

Selain itu, Program CSR juga dilaksanakan oleh DOSM sebagai salah satu aktiviti menyantuni dan mendekati masyarakat. Antara program CSR yang telah diadakan adalah; menyantuni golongan gelandangan di Klang dan Port Klang (BIPD), program menyantuni alam sekitar di Jeti Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak (ILSM), Program Taawun Perdana Komuniti di Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak (ILSM), Sesi Literasi Statistik bersama Penduduk Orang Asli Tanjung Sepat (HSN).

 

ASPIRASI DAN CABARAN TAHUN 2020

Saya amat berharap agar pada tahun 2020, DOSM akan dapat meluaskan lagi kerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan produktiviti Jabatan seiring dengan harapan yang tinggi daripada Kerajaan kepada DOSM untuk memungut, mentafsir serta menyebar statistik yang bertepatan masa.

Seiring dengan Sustainable Development Goals (SDG’s) 2019 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Kerajaan, DOSM perlu memastikan statistik yang dibekalkan adalah tepat dan reliable bagi mencapai matlamat kerajaan dalam WKB 2030. Matlamat ini juga selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) pada tahun 2030 yang diperkenalkan oleh United Nations. Untuk makluman, Jabatan telah menjadi focal point bagi SDG 2030. Sebanyak 244 indikator telah dikenalpasti bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam meningkat taraf hidup yang wajar (decent standard of living) kepada rakyat bertepatan dengan prinsip SDG 2030 iaitu ‘Leave No One Behind’ iaitu pendekatan pembangunan yang lebih inklusif.

Sehubungan itu, kemahiran sumber manusia yang lebih efektif dan professional perlu ditingkatkan dengan perbanyakkan program kursus seperti Statistical Competencies Development Programme (SCDP) dan program-program yang dapat memperkukuhkan kapasiti sistem statistik negara.

Saya amat bersyukur atas kepercayaan Kerajaan terhadap kepentingan DOSM dalam perancangan dasar negara, skop perjawatan Perangkawan kini telah diperbesarkan melalui penambahan bidang sains dan teknologi komputer. Diharapkan dengan transformasi ini maka akan dapat meningkatkan kompetensi serta profesionalisme anggota DOSM.

Justeru, DOSM perlu membangunkan generasi baru dengan kemahiran statistical modelling, machine learning, programming dan database. Generasi baru ini juga harus diterap dengan domain knowledge, soft skills, komunikasi dan visualisation.

Marcapada yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, pengurusan Big Data adalah sangat penting bagi kerajaan kerana ia membolehkan sesuatu keputusan dibuat secara lebih cepat atau real-time. Penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, sistem integrasi, penggunaan robotic dan cloud merupakan lanskap dunia moden di dalam Industri 4.0.

Sepertimana ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Industri Revolusi 4.0 merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang akan difokuskan. Ia merupakan cabaran baharu bagi DOSM untuk melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital agar dapat terus berdaya saing di peringkat global.

Saya amat yakin bahawa seluruh anggota DOSM telah bersedia untuk melangkah ke tahun 2020 dengan lebih bersemangat bagi merealisasikan visi dan misi DOSM yang seterusnya. Matlamat ini hanya dapat dicapai melalui kecekalan, dedikasi dan kerjasama dari semua anggota. Justeru, besarlah harapan saya supaya semua anggota DOSM terus mengekalkan budaya kerja yang cemerlang bagi bergerak seiring dengan kerajaan untuk mencapai WAWASAN Kemakmuran Bersama pada tahun 2030.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Menyambut Tahun Baru 2020".

Sekian.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.